Tidak kiralah sama ada anda merupakan seorang pemandu kereta, lori, van,
bas sekolah, kereta kebal, motosikal berkuasa rendah dan sebagainya
termasuk helikopter. Biasanya amalan ini dilakukan pada waktu pagi
sebelum ke tempat kerja atau ke sebarang destinasi. Ada yang memanaskan
enjin selama satu minit. Ada yang memanaskan selama 5 minit.
Ada yang keluar rumah, hidupkan enjin kereta, masuk rumah, sarapan,
pakai stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh masuk
kereta untuk memulakan perjalanan. Makan masa dalam 15 minit juga.
Golongan kaki panaskan enjin seperti itumesti bangun awal. Semua ini
dilakukan kononnya demi untuk menjaga enjin. Demi untuk memastikan
jangkahayat enjin panjang dan sentiasa berprestasi tip top.
Soalnya sekarang adakah pemanasan enjin ini perlu dilakukan? Apa
kebaikannya dan apa keburukannya? Lagi satu kalau anda bijak laksana,
siapa orang yang mula-mula panaskan enjin kenderaan di Malaysia ni? Di
negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan
dunia yang lebih baik di masa mendatang, pemanasan enjin adalah tidak
digalakkan dan sesetengahnya ditegah.
Negara Kanada telah memulakan kempen nasional mereka untuk mengurangkan
pemanasan enjin yang tidak diperlukan. Kempen yang sama turut dilakukan
di Jepun , United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Ada di antaranya
sudah menetapkan satu undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh
dibiarkan hidup dalam keadaan idling melebihi 5 minit atau 3 minit bagi
kenderaan ringan. Kenapa perkara ini ditegah? The Canadian Office of
Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk
memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran
berada di takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan
hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke
jalanraya. Bayangkanlah berapa agaknya suhu di Malaysia?
Salah seorang jurutera penghantaran kuasa di Ford, Amerika Syarikat
iaitu Les Ryder berkata, “Engines run best at their design temperature”.
Berdasarkan kenyataan Encik Les Ryder itu, operasi enjin yang cekap,
bersih dan efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah
selsius. Oleh itu membiarkan enjin anda di dalam keadaan idling adalah
bukan cara yang terbaik atau terpantas untuk memanaskan enjin. Lebih
baik jika memandunya atau dengan kata lain stylel Amerika, lagi ‘gentle’
kalau pandu terus. Jadi berikut antara bahaya atau keburukkan dalam
amalan yang tidak betul ini.
1. Dinding Silinder Cepat Haus
Tabiat memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di dalam keadaan
pepura (idling) dikatakan adalah satu perkara yang tidak baik dan
berfaedah. Pertamanya ia menyebabkan pembakaran bahanapi tidak dapat
dilakukan dengan sempurna.
Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder.
Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu
membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder.
Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan mengalami kehausan
akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak
terbakar juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung
minyak pelincir. Apabila ia bergaul, sifat minyak pelicir akan berubah
dan hilang kecekapannya.
2. Palam Pencucuh Menjadi Kotor
Di samping itu, tabiat ini juga boleh mendatangkan masalah kepada palam
pencucuh. Ia akan menganggu suhu kerja palam pencucuh. Palam pencucuh
yang tidak berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang
demikian ia akan mendatangkan kesan kepada peningkatan bahan api
sebanyak 5%.
3. Paip Ekzos Cepat Berkarat
Pada waktu pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap
dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami
kehausan. Ia adalah wap air normal yang terhasil daripada enjin yang
sejuk. Jadi apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan pepura
(idling), bertambah lama untuk enjin mengambil masa untuk panas. Ini
menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana
akan menjadikan paip ekzos cepat berkarat.
4. Komponen Enjin Gagal Berfungsi Dengan Baik
Kenderaan pada masa kini biasanya akan terdapat sebuah komponen yang
dinamakan Catalytic Converter pada sistem ekzosnya. Kereta-kereta
Malaysia pun dah mula guna pakai. Komponen ini disediakan bertujuan
untuk mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil
pembakaran sebuah enjin pembakaran dalaman.
Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah menukarkan karbon
monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan nitrogen oksida kepada
nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada
karbon dioksida dan air dan sebagainya.
Jadi faedah yang boleh diperolehi daripada komponen ini ialah pencemaran
udara dapat diminimakan. Walaubagaimana pun, masalah yang timbul jika
enjin berada di dalam keadaan pepura (idling), komponen ini tidak
berfungsi.
Maka enjin dengan sesuka hati dapat mencemarkan udara. Komponen ini akan
berfungsi hanya pada tahap suhu 400 – 800 darjah selsius yang dimana
adalah pada satu kadar suhu yang sangat panas berbanding enjin.
Semasa suhu itu ia akan bertindak menukar bahan tercemar dari sisa
pembakaran enjin kepada bahan yang kurang berbahaya kepada alam sekitar.
Bagi memastikan komponen ini cepat dan dapat berada di suhu yang mana
ia boleh beroperasi, anda perlulah memandu. Bukan meninggalkan kereta
hidup terbiar. Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan idling maka
semakin lama juga Catalytic Converter ini tidur dan tak bekerja. Anda
rasa apa agaknya yang terjadi kepada alam sekitar?
5. Membazir Dan Mencemarkan
Sekarang kita sudah mengetahui serba sedikit tentang keburukan
memanaskan enjin. Ada tiga kesan yang penting di situ iaitu membazir
bahan api, mencemarkan alam sekitar dan memunah wang ringgit. Mari kita
lihat apa pula kebaikkan memanaskan enjin. Khabar-khabar angin
mengatakan memanaskan enjin juga ada faedahnya. Salah satu perkara yang
disebut adalah semasa enjin ditinggalkan di dalam satu tempoh yang agak
lama, iaitu mungkin sehingga satu malam, bahan pelinciran akan turun
meninggalkan komponen yang bergerak di dalam enjin ke bahagian bawah
enjin. Jadi apabila kita mula menghidupkan enjin, kita perlu mengambil
sedikit masa untuk memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan
pelinciran itu naik dan beredar di setiap inci dan penjuru komponen
dalaman enjin.
Ya perkara ini benar. Tetapi apa yang anda perlu tahu bahawa setiap
enjin telah dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak
pelincir. Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin
laju crankshaft berpusing maka makin cepat pam bahan api berpusing
seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin. Untuk
memastikan crankshaft ini berpusing laju apa yang anda perlu buat?
Adakah dengan hanya membiarkan enjin dalam keadaan idling?
Kesimpulannya di sini tabiat memanaskan enjin di waktu pagi yang
kononnya lagi lama lagi bagus adalah satu mitos yang tidak diketahui
hujung pangkalnya. Perkara ikut-ikutan seperti ini bukanlah satu perkara
yang asing bagi kita rakyat Malaysia. BMW sendiri pun cukup pantang
kalau orang warm up enjin keretanya. Sebab mereka tahu jika enjin cepat
rosak nanti mesti pelanggan mengadu.
Sebab itu kalau boleh BMW nak lepas hidup saja enjin kereta, terus pandu
cepat-cepat. Jangan tunggu-tunggu. Ini tidak, siap boleh masuk rumah
pekena roti dua tiga keping, layan teh dulu sambil sembang-sembang
dengan isteri tapi enjin kereta terbiar hidup. Seperkara lagi yang boleh
membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran bahan api
adalah dengan mematikan enjin jika kenderaan anda tidak bergerak.
Kalau tunggu kekasih turun LRT, berhenti tepi jalan bergayut dengan
telefon, tunggu bini masuk pasar mini beli barang dapur, dan tunggu anak
balik sekolah depan pagar sekolah bawa bawalah matikan dulu enjin.
Perkara itu tidak memberi sebarang faedah langsung malah boleh
menyebabkan masalah pencemaran udara dan alam sekitar serta pembaziran
wang ringgit. Sedarkah anda di dalam tempoh setahun, sikap mengurangkan
enjin dibiarkan hidup dalam keadaan idling ini mampu menjimatkan beratus
ribu juta ringgit dan mampu menghentikan perlepasan jutaan tan gas
rumah hijau ke atmosfera yang membawa pemanasan global.
No comments:
Post a Comment