Friday, 6 May 2016

Bank Tersilap Masuk RM13.85 Juta Ke Akaun Pelajar Malaysia

SYDNEY – Seorang warganegara Malaysia ditahan di lapangan terbang Sydney ketika hendak meninggalkan Australia, atas dakwaan membelanjakan jutaan ringgit membeli barangan mewah dengan menggunakan wang yang tersilap dimasukkan ke dalam akaunnya.
Lapor Harian Metro & Daily Mail, A$4.6 juta (RM13.85 juta) dikatakan tersilap dimasukkan ke dalam akaun bank Westpac Christine milik Jiaxin Lee, 21, pelajar kejuruteraan kimia, sebagai overdraf pada 2012.
Jiaxin dilaporkan telah membelanjakan A$3.3 juta (RM9.9 juta) untuk membeli beg tangan serta beberapa barangan mewah yang lain.
Dia dihadapkan ke Mahkamah Tempatan Waverley hari ini bagi menghadapi tuduhan dengan curang mengambil kesempatan menggunakan wang itu walaupun tahu bahawa ia adalah kesalahan jenayah.
Menurut dokumen mahkamah, Jiaxin melakukan kesalahan itu di antara Julai 2014 hingga Mac 2015 dan gagal memaklumkan kepada pihak bank yang dia tidak berhak memiliki wang tersebut.
Polis memulakan siasatan pada 2012, namun waran tangkap terhadap Jiaxin hanya dikeluarkan pada Mac 2016.
Mahkamah dimaklumkan yang Jiaxin sedar bahawa polis cuba menghubunginya sebelum ini, menyebabkan dia memohon pasport kecemasan Malaysia untuk meninggalkan negara itu. Bagaimanapun, peguam yang mewakilinya berkata, Jiaxin mahu pulang untuk melawat ibu bapanya.
Jiaxin dibenarkan diikat jamin sebanyak A$1,000 (RM3,000).
Majistret Lisa Stapleton berkata, perbuatan Jiaxin itu tidak sampai ke tahap jenayah tetapi ia mengenai wang yang semua orang inginkan.
“Dia tidak mengambilnya daripada bank, mereka yang memberi kepadanya,” katanya.
Menurut majistret itu, jika itu keadaannya, Jiaxin hanya berhutang wang yang sudah dibelanjakan tetapi tidak melanggar undang-undang.
Jiaxin tidak dibenarkan memasuki mana-mana lapangan terbang di negara itu atau pelabuhan serta perlu melapor diri kepadap olis dua kali sehari.
Jiaxin yang tinggal di Australia sejak 5 tahun lalu bersama dengan teman lelakinya di Rhodes, sekali lagi akan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Jun depan.

No comments:

Post a Comment