Saya adalah seorang OKU. Sebagai bekas doktor dan kini pemilik kedai
aksesori telefon Dr. Fone, amat kesal dengan mentaliti masyarakat
malaysia yang masih mempunyai stigma terhadap orang kurang upaya (OKU)
kerana saya sendiri adalah OKU (mental) iaitu Bipolar Type 2 (bukan
gila).
Sebenarnya sebab utama saya berhenti dari menjadi doktor adalah kerana
stigma yang terlalu kuat terhadap orang OKU, walaupun di kalangan
profesional dalam kes saya di kalangan doktor sendiri. Saya telah
didiagnosis mengidap penyakit ini semasa saya berkhidmat sebagai doktor
pelatih di sebuah hospital kerajaan di Temerloh akibat kekurangan tidur
dalam tempoh yang lama (sleep deprivation). Ini menyebabkan saya selalu
mengalami kemurungan yang teruk (major depression) tanpa sebab.
Selepas saya disahkan mengidap penyakit tersebut, serta merta lesen saya
ditarik oleh MMC (Malaysia Medical Council) atas alasan tidak selamat
untuk mengamal walaupun tanpa bukti yang kukuh yang saya ini
membahayakan nyawa pesakit.
Sepanjang saya berkerja, saya tidak pernah ada masalah disiplin, ponteng
kerja atau mempunyai masalah dengan pihak atasan atau dengan pesakit
walaupun saya sedang mengidap penyakit yang hanya Allah tahu betapa
teruknya hendak meneruskan kehidupan seperti orang normal. Setiap hari
saya mengalami kemurungan yang sangat teruk tanpa sebab sehingga
beberapa kali hendak cubaan bunuh diri, tetapi kerana iman alhamdulillah
saya masih hidup sehingga kini.
Dari sinilah kisah hitam saya bermula. Ramai staff memandang rendah
terhadap saya. Saya kehilangan kawan dan kekasih saya meninggalkan saya
tanpa ada berita. Saya keseorangan tanpa bantuan sesiapa. Pihak hospital
juga sentiasa mencari salah dan menekan saya dengan pelbagai cara
supaya saya berhenti kerja kerana merasakan saya adalah beban bagi
mereka.
Dari sini saya perlahan-lahan menjinakkan diri dengan berniaga dari
kecil walaupun pihak hospital menghalang dengan pelbagai cara seperti
memotong elaun, saya tetap kuatkan semangat di samping cuba melawan
penyakit yang saya alami dan alhamdulillah berjaya membuka satu kedai
yang dinamakan Dr. Fone tanpa bantuan orang perseorangan atau kerajaan.
Semua modal permulaan dari hasil jualan semasa berniaga kecil-kecilan
dan juga keluarga.
Dunia ini memang tidak adil, lagi-lagi untuk kami OKU kerana ramai
kawan-kawan sekerja saya ponteng kerja, bergaduh dengan pihak atasan,
tersilap pindah darah sehingga menyebabkan kematian. Tetapi mereka hanya
didenda dan boleh berkhidmat seperti biasa tanpa sebarang masalah. Saya
OKU terus ditarik lesen dan tidak dibenarkan langsung untuk mengamal
walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan besar, atas alasan tidak
selamat kerana mempunyai penyakit bipolar.
Sehingga sekarang saya terpaksa menyembunyikan status OKU saya supaya
saya tidak dicemuh dan dipandang rendah lagi. Lagi-lagi saya punya
penyakit adalah mental atau orang Melayu panggil gila, walaupun
realitinya bukan seperti bahasa yang digunakan. Sehingga sekarang
apabila saya berkenalan dengan wanita, bila saya memberitahu saya
seorang OKU, mesti dan pasti akan ditinggalkan tanpa sebarang berita.
Memang sedih tetapi ini adalah realiti sampai sekarang.
Jadi nasihat saya kepada belia-belia di luar sana yang sentiasa mengeluh
kerja penat, gaji kecil, tiada kerja, anda patut bersyukur kerana anda
masih normal. Kami OKU lebih teruk dugaan dari anda semua tetapi kami
tidak mengeluh dan tidak pernah berputus asa untuk berjuang di dunia
yang penuh cabaran ini.
Sekian,sekadar ingin berkongsi pengalaman, Dr. Muhammad Farhan (MD,UPM), pemilik kedai aksesori Dr. Fone | PIXEL MEDIA
No comments:
Post a Comment