Ini episod pertama. Janganlah mudah menjatuhkan hukum. Tunggulah episod seterusnya kerana masih banyak yang belum dipaparkan.
Jika ayat-ayat di atas mahu dilontarkan, itu alasan biasa sesebuah
program yang baru memulakan siaran. Iklan sebelum ini nampak seola-olah
program Gempak Superstars seperti akan mencipta kelainan, berbeza dan
banyak impak kepada industri.
Namun, apa yang dihidangkan pada episod pertama sangatlah mengecewakan.
Kalau beginilah tahap program hiburan tempatan, memang eloklah mendapat
kecaman, bertalu-talu, seperti yang kita tatap dalam banyak laman
sosial. Bermula daripada pengacara hinggalah kepada peserta, pendek
kata, semuanya serba tidak kena.
Pengacara program Sharnaaz Ahmad dan Scha Al Yahya nampaknya seperti
tidak bersedia dan terlalu bergantung pada teks pengacaraan. Kalau pada
minit awal tidak mengapa, ini sampai ke akhir program asyik fokus pada
kad yang dipegang, sungguh tidak profesional.
Rasanya lebih baik kalau tugas itu diberikan kepada pelakon lain yang
benar-benar boleh mengacara, bukan popular semata-mata.
Sekurang-kurangnya penonton tidaklah tertekan dengan gelagat pengacara,
sementelah kecewa dengan persembahan ‘memilukan’.
Bagi peserta, kita faham kalau peserta yang juga pelakon ini tidak mampu
menyanyi, tetapi tahap nyanyian semua peserta tiada yang istimewa.
Seorang demi seorang menampilkan nyanyian yang boleh di nilai sebagai
sumbang. Sehinggakan rasa keliru, apa tujuan sebenar program ini?
Melihat kepada usaha setiap peserta, nampak mereka seperti
bersungguh-sungguh, tetapi akhirnya ditertawakan oleh penonton yang
hadir. Apakah mereka memang mahu tampil hanya semata-mata untuk
dikritik? Itu perlu dijawab. Mungkin itu yang ingin ditawarkan kepada
penonton iaitu gelagat pelakon menyanyi untuk ditertawakan. Sungguh
kasihan!
Kalau benar mahu ambil pelakon menyanyi, carilah yang boleh menyanyi
dengan betul atau sekurang-kurangnya sedap telinga mendengar. Semua yang
berada dalam program itu nampak terdesak. Produksi nampak terdesak
untuk menawarkan hiburan kepada penonton.
Peserta pula nampak terdesak untuk menyertai pertandingan biarpun ia
kelihatan memalukan diri. Minggu pertama, banyak perkara yang tidak
kena. Minggu kedua, jika masih sama, maaf cakap terpaksa mencari program
hiburan lain yang jauh lebih bermutu dan bermanfaat untuk ditonton.
No comments:
Post a Comment