Mungkin sesetengah orang merasakan perkara ini begitu remeh sehingga
ramai yang tidak mengendahkannya. Sekarang mengaku, ramai diantara anda
yang tidak mematikan telefon bimbit atau menukarkan peranti anda kepada
‘Airplane mode’ di dalam penerbangan bukan? Mungkin ia tidak sengajakan,
atau mungkin kerana anda percaya peraturan itu adalah sesuatu yang
tidak perlu.
Hampir satu pertiga daripada penumpang kapal terbang melaporkan bahawa
mereka tidak mematikan peranti elektronik mudah alih mereka, menurut
satu kajian oleh Persatuan Pengguna Elektronik.
Persoalannya, mengapa begitu penting untuk mematikannya? Mampukah peranti elektronik menjatuhkan kapal terbang?
Berikut, kami berkongsi entri dari sebuah says.com dimana penulis menjelaskan betapa pentingnya fungsi ‘Airplane Mode’ atau lebih mudah lagi mematikan peranti elektronik.
Ikuti penerangan sepenuhnya di bawah:
Dalam sejarah penerbangan dunia, peranti elektronik tidak pernah menjadi
punca kemalangan kapal terbang. Seorang jurutera dan pakar dalam bidang
penerbangan, Kenny Kirchoff berkata, “Tidak semestinya telefon boleh
menjatuhkan kapal terbang. Itu tidak menjadi satu masalah.”
“Namun begitu, alat-alat ini mampu mengganggu sistem sesebuah pesawat
dan menyebabkan lebih banyak kerja yang perlu dilakukan juruterbang
semasa berada dalam fasa kritikal penerbangan. Apabila berlepas dan
mendarat, juruterbang berada dalam fasa penerbangan yang memerlukan
tahap konsentrasi tinggi.”
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu gangguan sistem penerbangan
yang berpunca daripada peranti elektronik pernah berlaku sebelum ini.
Dari tahun 2003 hingga 2009, terdapat 75 kes gangguan peranti elektronik
telah dilapor, termasuk 29 kes yang melibatkan telefon bimbit, menurut
satu kajian oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa. Jika
diikutkan, hanya satu kes gangguan sahaja berlaku bagi setiap 283,300
penerbangan. Walaupun jarang berlaku, laporan mencadangkan bahawa
gangguan itu boleh memberi kesan kepada hampir setiap sistem dalam
pesawat, dari sistem komunikasi dan navigasi kepada sistem kawalan
penerbangan (seperti autopilot) dan sistem amaran.
Jadi, adakah gangguan ini benar-benar merbahaya?
Satu eksperimen telah berlangsung di Makmal Gangguan Elektromagnetik
Boeing di Seattle. Dalam eksperimen ini, Kenny Kirchoff memasuki sebuah
bilik yang dilindungi serta kebal daripada tenaga elektrik. Kenny
menghidupkan sebuah komputer riba berhampiran sebatang antena dalam
bilik tersebut.
Kemudian, keputusannya direkodkan dan dipapar pada satu monitor. Ia
menunjukkan, pelepasan tenaga elektrik dari komputer riba berkenaan
menjangkaui satu garisan yang menggambarkan frekuensi radio kapal
terbang.
Di sini, anda dapat lihat sebahagian frekuensi dari komputer riba tadi
mampu melepaskan tenaga melebihi had. Ini bermakna, peranti elektronik
mudah alih mempunyai potensi untuk mengganggu sistem kapal terbang lebih
dari apa yang dijangkakan.
Semakin hari peranti elektronik semakin dilengkapi dengan pelbagai
fungsi. Tetapi tidak perlu khuatir kerana sistem kapal terbang juga
telah berkembang kepada yang lebih canggih. Pesawat generasi baru lebih
mantap dan lebih baik dari segi perlindungan kepada gangguan
elektromagnetik – gangguan yang melibatkan litar elektrik disebabkan
sama ada oleh induksi elektromagnet atau sinaran yang dipancarkan oleh
sumber luar.
Satu lagi hujah yang biasanya datang melibatkan penggunaan Wi-Fi dalam
penerbangan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat penerbangan tertentu.
Untuk makluman, sistem Wi-Fi dalam kapal terbang telah diuji dan
disahkan mengikut model dan sistem pesawat secara keseluruhan.
Teknologi mewujudkan masalah, dan teknologi jugalah yang menyelesaikan
masalah. Untuk memastikan keselamatan maksimum, adalah lebih baik jika
kita semua mematikan peranti elektronik ketika dalam penerbangan. Bak
kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.




No comments:
Post a Comment