Saya pernah berzina satu masa dahulu kini telah bertaubat dan akan
berkahwin perlukah saya beritahu saya telah berzina satu masa dahulu
kepada suami saya? Sekiranya dia bertanya wajibkah saya beritahu perkara
tersebut? Adakah dosa-dosa saya terhapus yang membuat amalan fardu
sahaja atau saya perlu menunaikan ibadat haji?
Berikut petikan jawapan daripada Ustaz Ahmad Jailani
Suatu ketika seorang isteri memberitahu kepada saya bahawa beliau telah
berzina. Sekarang telah pun bertaubat di atas dosa yang telah beliau
lakukan itu. Malangnya timbul pula masalah lain. Beliau berhasrat untuk
berterus terang dengan suaminya tentang dosanya itu.
Dilemanya ialah beliau
bimbang jika suaminya mengetahui berkenaan maksiat lampaunya itu, kelak
suaminya akan menceraikannya. Sedangkan rumahtangga mereka aman damai,
tiada perbalahan. Ada anak yang comel. Beliau juga tidak sanggup
diceraikan.
Namun, hati kecilnya
sering rasa bersalah bila memandang wajah suaminya. Soalan yang beliau
utarakan kepada saya ialah adakah wajar beliau menyembunyikan dosanya
itu atau lebih baik beliau berlaku jujur dengan suaminya dengan
memberitahu apa yang telah berlaku dan seterusnya memohon maaf daripada
suaminya.
Sebenarnya amat sukar
untuk saya memberikan jawapan walaupun saya sudah ada jawapan yang telah
tersedia dan telah pun diberikan kepada orang lain sama ada yang
menemui saya secara bersemuka, melalui telefon atau saya menyampaikannya
melalui kuliah atau ceramah. Ini kerana saya bimbang ia boleh
disalah-ertikan.
Jawapan saya kepada
beliau ialah JANGAN MENGAKU BERZINA! Kenapa? Pertamanya; Untuk menutup
dosa dan aib kita. Kedua; Untuk menggalakkan kita supaya sentiasa
mencari Allah SWT dan bertaubat kepadanya dan ketiga; untuk mengelak
berlakunya kemudaratan kepada orang yang bertaubat atau ingin bertaubat
iaitu kehancuran rumahtangga.
Apabila Ma’iz Al-Aslami
(sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya) berjumpa
dengan Nabi SAW dan membuat pengakuan zina dengan berkata ” Ya
Rasulullah, Inni zanaitu” (sesungguhnya aku telah berzina), baginda
berpaling daripada Ma’iz, walaupun Ma’iz mengaku berkali-kali. Sehingga
sebahagian fuqaha menjadikan hadith ini sebagai dalil bahawa tidak
digalakkan mengaku berzina!
Sheikh Dr. Ali Jum’ah
(Mufti Mesir) apabila ditanya fatwa beliau tentang hukum memperbaiki
hymen (selaput dara) atau struktur yang berkaitan dengannya bagi
gadis-gadis yang pernah terlibat dengan dosa dan noda pada suatu ketika
tetapi kemudiannya telah meninggalkan kefasiqan tersebut dan bertaubat,
maka beliau menjawab agar ditutup keaiban itu (boleh memperbaiki ‘dara’)
kerana menutup keburukan orang mukmin adalah suatu perkara yang terpuji
dalam agama. Bukankah terdapat dalil syarak yang menunjukkan bahawa
sesiapa yang menutup aib saudaranya di dunia, maka Allah SWT akan
menutup aibnya di akhirat kelak! Ini terpakai kepada gadis tersebut sama
ada kejadian hitam itu dengan kerelaannya atau paksa.
Imam Nawawi, ulama’
terkenal dalam mazhab Imam Shafie, telah menulis dalam kitab “Raudhah”,
dengan katanya, “Sesiapa yang telah terlibat dengan perkara buruk dan
dosa, maka disunatkan kepadanya untuk menutup kesalahannya itu.
Berbeza dengan amalan
dan sikap masyarakat kita hari ini yang secara tidak langsung (mungkin
tak sengaja) berbangga-bangga dengan menceritakan “maksiat” lampaunya.
Contohnya, terdapat kenalan saya, yang pernah bercerita bahawa beliau
masa muda-muda dulu pernah beberapa kali ke Hatyai, Thailand kerana
mencari pelacur! Astaghfirullah, Ya Akhi, bertaubatlah.
Agama kita yang murni
ini sebenarnya banyak mengajar kita supaya sentiasa bertaubat dan
memperbaharui taubat kepada Allah SWT. Antaranya Firman Allah dalam
Surah Al-Tahrim, ayat 8:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا
إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ
سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا
الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا
مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ
رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ
شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya, “Wahai orang-orang yang
beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”,
mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan
memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang
beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka,
bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa
mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba
dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya
kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”
Dengan menutup aib
tersebut, harapannya ialah akan menggalakkan manusia bertaubat kepada
Allah. Ia juga untuk mengelak daripada berlaku mudarat kepada orang yang
bertaubat. Sebagaimana riwayat Imam Malik dalam Al-Muwatta’nya – La
darara wa la dirar – Tiada mudarat dan tidak memudaratkan.
Mungkin ada di kalangan
kita yang akan berkata, bukankah ini akan menganiaya lelaki yang menjadi
suami atau bakal suami kepada gadis atau isteri tersebut. Jawapan saya
ialah masyarakat kita hari ini hanya sibuk dengan kesucian gadis atau
isteri sehingga pernah berlaku dalam masyarakat kita suatu adat atau
amalan meletakkan kain cadar putih untuk memastikan pengantin perempuan
masih dara! Anehnya, masyarakat kita tak pernah sibuk tentang
“teruna”nya pihak lelaki.
Mereka sibuk tentang tak
relanya kelapa ditebuk tupai tetapi mereka tak pernah sibuk tentang
tupai yang sering menebuk kelapa! Alangkah tidak adilnya masyarakat hari
ini. Malah ada yang sanggup berkata, bila diajukan tentang lelaki yang
sudah tiada “teruna”, mereka jawab, “Alaa.. budak lelaki biasalaa.. yang
perempuan tu gatal menggoda dia tu, siapa suruh”. Malah pernah berlaku
dalam kes rogol, si bapa kepada remaja lelaki tersebut, bukannya
menyalahkan anaknya yang merogol tetapi menyalahkan si mangsa (gadis)
kerana gatal dan miang.
Ya Allah, berilah petunjukMU kepada umat ini.-
No comments:
Post a Comment