Sunday, 29 November 2015

Terkini : Sultan Johor Haramkan Vape di Seluruh Negeri Johor


JOHOR BARU, 29 Nov: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah mengharamkan penggunaan vape di seluruh negeri dan memberi tempoh sebulan kepada pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasinya.

"Saya mahu premis vape ditutup mulai 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan.

"Ia ada kaitan dengan isu kesihatan dan kesannya kepada golongan muda, bukan melibatkan perniagaan atau perkauman.

"Saya benar-benar kecewa apabila ada pihak menimbulkan isu ancaman perkauman dan politik melibatkan vape," titah baginda menerusi temubual khas memetik laporan mStar Online.

Baginda bertitah negeri mempunyai hak untuk menguatkuasakan undang-undang mengikut peruntukan kerajaan tempatan bagi menutup perniagaan pengusaha vape.

Selain itu, baginda turut mengarahkan kerajaan negeri untuk bersidang pada minggu depan bagi merangka perancangan untuk memudahkan proses tersebut.

Baginda juga bertitah ahli politik harus berhenti memenuhi kehendak ahli perniagaan yang terlibat dalam industri vape.

"Kenapa ada ahli politik yang mengalah terhadap ancaman ini? Saya mahu tahu jika ahli perniagaan ini membenarkan anak-anak mereka untuk menggunakan vape jika ia benar-benar selamat dan tidak mengganggu kesihatan seperti yang didakwa.

"Apakah kamu mahu melihat anak-anak terus menggunakannya.

"Ia perniagaan baharu tetapi apa pula bentuk perniagaan yang mereka lakukan sebelum ini? Berpatah balik kepada pekerjaan anda sebelum ini," titah baginda.

Menurut baginda, kesan jangka panjang pengunaan vape, pengguna perlu membayar cukai untuk menanggung kos bagi membiayai rawatan.

Selain itu juga, baginda turut bertitah pengharaman vape di negeri johor meliputi seluruh penjualan produk yang berkaitan dengan vape.

"Adalah jelas mengikut undang-undang, premis vape tidak boleh menjual nikotin, jadi kenapa perlu menutup sebelah mata dan mengetepikan undang-undang?

"Jika kita biarkan ia berlaku, akan ada golongan muda yang ketagih untuk menggunakannya," titah baginda.

Sultan Johor memberi amaran mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang tersebut bermula 1 Januari depan bakal dikenakan tindakan. - Siakapkeli.my

No comments:

Post a Comment