Serangan jantung (Sindrom Akut Koronari atau myocardium infarction)
adalah satu kecemasan perubatan yang boleh membawa kepada komplikasi
yang serius dan juga maut. Ia disebabkan oleh kekurangan bekalan darah
ke jantung, saluran darah yang sempit disebabkan oleh plak kolestrol.
Plak-plak yang tidak stabil ini boleh pecah dan seterusnya akan
membentuk darah beku yang akan menghalang saluran-saluran secara
keseluruhan.
Penyakit jantung (penyakit kardiovaskular / cardiovascular disease)
pada masa kini merupakan punca kematian yang utama di seluruh dunia,
termasuklah di Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui generasi ‘Baby Boom’
yang semakin meningkat usia; yang mana masih membentuk majoriti
penduduk di dunia. Di Malaysia, kejadian serangan jantung adalah sekitar
141 bagi setiap 100,000 orang dalam setahun, dan menyebabkan kira-kira
tujuh peratus kematian di hospital. Tambahan pula, penyakit
kardiovaskular menyumbang kematian dua setengah kali lebih tinggi di
kalangan wanita Malaysia daripada semua jenis kanser apabila
digabungkan.
Faktor-faktor risiko untuk serangan jantung adalah:
- Jantina (lelaki lebih berisiko daripada perempuan)
- Umur lebih daripada 45 tahun, (umur perempuan> 55 tahun atau selepas menopaus)
- Penyakit kencing manis
- Merokok
- Kandungan kolestrol tinggi dalam darah
- Penyakit darah tinggi
- Obesiti
Walau bagaimanapun, beberapa tahun
kebelakangan ini kita melihat peningkatan bilangan kes-kes yang
melibatkan orang-orang yang lebih muda, bahkan wanita dan pada awal umur
30-an. Pesakit paling muda yang pernah direkodkan mendapat serangan
jantung di Malaysia berusia 19 tahun. Trend yang membimbangkan ini
menunjukkan betapa pentingnya untuk mengekalkan berat badan normal,
bersenam dan elakkan merokok; terutama mereka yang mempunyai sejarah
keluarga mempunyai penyakit jantung.
Simptom utama serangan jantung adalah
sakit dada yang digambarkan sebagai ditindih objek berat atau seperti
tekanan. Ia mungkin diiringi dengan rasa kebas di sepanjang lengan kiri
dan leher, loya dan muntah-muntah. Ada yang menyifatkannya sebagai suatu
perasaan seperti “satu azab bakal berlaku”. Harus diingatkan bahawa
tidak semua pesakit akan mengalami simptom-simptom klasik ini. Jika
terdapat keraguan, sila dapatkan rawatan dan nasihat perubatan.
Walaupun terdapat peningkatan yang
ketara dalam pengurusan serangan jantung secara keseluruhan, malangnya
kebanyakan kematian berlaku sebelum sempat tiba di hospital. Kesilapan
yang biasa dibuat oleh pesakit adalah kelewatan dalam mendapatkan
rawatan perubatan atau kecemasan. Mereka sama ada tidak mengendahkan
simptom-sipmtom tersebut, berharap bahawa sakit dada itu akan reda atau
menganggap ia disebabkan masalah kesihatan lain seperti ketidakhadaman
perut. Kelewatan ini akan memberi lebih tekanan pada otot jantung yang
telah kekurangan bekalan dan peredaran darah, seterusnya ianya tidak
dapat dipulihkan dan kerosakan jantung akan berlaku. Jika tidak dirawat
dengan segera atau mereka yang terselamat akibat dari serangan jantung
akan mengalami komplikasi lanjut seperti kegagalan fungsi jantung.
Kebiasaannya mereka akan mengadu sesak nafas ketika melakukan senaman
mahupun ketika sedang berehat.
Secara amnya, prinsip terbaik dalam
sebarang kecemasan perubatan adalah dengan mendapatkan bantuan perubatan
dengan segera di pusat perubatan yang terdekat. Walau bagaimanapun,
memandangkan betapa seriusnya penyakit ini dan juga rawatannya yang
kompleks, untuk kes-kes ‘serangan jantung yang stabil’ adalah
dinasihatkan untuk datang terus ke Jabatan Kecemasan terdekat, bukannya
mengunjungi klinik am. Sekiranya pesakit telah datang ke klinik, dalam
kebanyakan kes, doktor di klinik akhirnya akan merujuk pesakit tersebut
ke hospital yang berdekatan dan ini telah menyebabkan pembaziran masa
ketika pesakit tiba di jabatan kecemasan.
Secara ringkasnya, terdapat tiga jenis serangan jantung:
- STEMI (infark miokardium berserta peningkatan segmen ST)
- Bukan-STEMI (infark miokardium tidak berserta peningkatan segmen ST)
- Angina tidak stabil
Nota: ST merujuk kepada segmen ST yang dirakam di ECG. ECG yang normal mempunyai gelombang P, kompleks QRS dan gelombang T. Salah satu cara untuk mengklasifikasikan serangan jantung adalah dengan perubahan kepada segmen ST dalam ECG.
Sejurus tiba di hospital, berdasarkan jenis serangan jantung (melalui pemeriksaan ECG
dan ujian darah), doktor yang merawat akan menentukan rawatan yang
paling sesuai untuk pesakit. Ia mungkin terdiri daripada ubat-ubatan
yang berasaskan-prosedur seperti angioplasty (pembedahan
nyah-halang saluran darah). Selepas penstabilan di Jabatan Kecemasan,
pesakit akan dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan dan juga
pemerhatian lanjut.
Terdapat juga situasi yang malang, iaitu
serangan jantung yang disusuli dengan terhentinya degupan jantung
sebelum sempat tiba di hospital, maka adalah sangat penting orang yang
berada di sekeliling pesakit ketika serangan untuk melakukan cardio-pulmonary resuscitation atau
CPR (tidak terkandung dalam artikel ini) kerana tindakan ini telah
terbukti dapat meningkatkan peluang pesakit untuk terus hidup.
Bagi mangsa serangan jantung, adalah
penting untuk terus mengambil ubat yang ditetapkan untuk mereka.
Kebanyakan ubat-ubatan ini perlu diambil sepanjang hayat kerana sifat
mereka ‘penstabilan’ dan bukannya ‘merawat’ jantung. Dengan ini, pesakit
perlu berbincang dengan doktor mereka sebelum menghentikan pengambilan
ubat-ubatan itu. Kegagalan berbuat demikian mungkin membawa kepada
bahaya , contohnya penghentian mengambil Aspirin selepas angioplasty mungkin akan menyebabkan tersumbatnya ‘stent’ yang telah diimplan di dalam saluran darah pada jantung.
LIMA mesej penting yang perlu diingatkan kepada pembaca:
- Walaupun serangan jantung biasanya dinyatakan sebagai tekanan seperti sakit dada, jika anda ragu-ragu, sila dapatkan bantuan perubatan.
- Jika anda agak stabil, sila datang terus ke Jabatan Kecemasan di hospital yang berdekatan.
- Ingat bahawa “masa adalah otot” dan lebih lama mangsa menunggu, lebih banyak otot jantung akan rosak dan semakin besar kemungkinan kerosakan itu tidak dapat dipulihkan.
- Jika mangsa tidak sedarkan diri sebelum tiba ke hospital, CPR dapat meningkatkan peluang untuk hidup (CPR mudah dipelajari).
- Jangan berhenti mengambil ubat tanpa berunding dengan doktor yang telah memulakan ubat tersebut.
Dr Beni Rusani adalah seorang pakar
kardiologi yang kini bertugas di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Beliau mempunyai minat yang mendalam untuk meningkatkan tahap kesedaran
tentang isu-isu kesihatan setempat. Kenali beliau dengan lebih lanjut
dalam ruangan ‘The Team’. Artikel ini telah diterjemah oleh Cik Raja Maizatul Azaria.
Rujukan:
- Management of Unstable angina / non STEMI. Malaysia Clinical practice guideline. Ministry of Health Malaysia; 2011.
- Prevention of cardiovascular disease in women. Malaysia Clinical practice guideline. Ministry of Health Malaysia; 2008.
No comments:
Post a Comment